Thursday, March 19, 2009

Kapal Discovery tiba di ISS


WASHINGTON 18 Mac - Kapal angkasa Discovery berlabuh di stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) kira-kira pukul 5.19 pagi waktu Malaysia pagi ini, bagi misi menghantar krew makmal pertama Jepun bersama panel suria untuk melengkapkan pembinaan stesen tersebut.

Kapal tersebut berlabuh enam minit lewat daripada waktu jangkaan asal. Biarpun berlaku sedikit masalah komunikasi antara ISS dengan pusat kawalan misi di Houston, percantuman Discovery dengan ISS berjalan lancar.

Ketibaan Discovery itu disambut tiga krew terdiri daripada dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Rusia.

Komander Discovery, Lee Archambault mula mengendalikan kapal angkasa itu ke posisi merapati ISS satu jam sebelum berlabuh.

Sepanjang 13 hari misi, krew Discovery termasuk Koichi Wakata yang bakal menjadi angkasawan Jepun yang pertama paling lama tinggal di ISS, akan memasang dua panel solar di stesen itu, satu daripada peringkat penting terakhir dalam pembinaannya yang telah mengambil masa lebih sedekad.

Menurut pelan asal Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), kerja-kerja pemasangan panel solar itu memerlukan masa selama lebih enam jam setiap satu oleh dua kumpulan angkasawan dalam empat perjalanan angkasa lepas.

NASA berkata, selepas pelancaran Discovery ditangguhkan minggu lalu berikutan kebocoran hidrogen, panel solar terbabit dijadual dipasang dalam tempoh tiga perjalanan angkasa lepas bermula dengan bahagian pertamanya esok.

Sepasang panel solar tersebut mengandungi 32,800 sel solar dan berukuran 35 meter panjang.

Setelah siap dipasang kelak, ia mampu menyalurkan bekalan elektrik yang cukup bagi eksperimen-eksperimen saintifik selain menyokong pertambahan enam lagi krew stesen itu yang dijangka tiba pada Mei depan. - AFP

Tuesday, March 17, 2009

ISS Bakal Diperluas



CAPE CANAVERAL, Florida 16 Mac - Kapal angkasa Discovery berjaya dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di sini awal pagi ini dengan membawa bersama panel suria yang akan dipasang bagi memperbesar ruang bagi persediaan penambahan krew di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Kapal angkasa Discovery dilancarkan pada pukul 7.43 malam (7.43 pagi ini waktu Malaysia) dan memasuki orbit lapan minit kemudian. Perjalanan ke stesen ISS dijangka mengambil masa selama dua hari.

Pengarah Misi Pelancaran, Mike Leinbach berkata, pelancaran itu berjalan dengan sempurna.

"Saya telah melihat banyak pelancaran... dan ini merupakan pelancaran yang paling cantik dilihat. Ia menakjubkan," katanya pada pemberita dalam satu sesi taklimat di sini.

Misi ke ISS itu, merupakan tugasan utama terakhir dalam usaha selama sedekah untuk membina stesen tersebut telah tertangguh berikutan kebocoran hidrogen minggu lalu, setelah dijadualkan berlepas pada Rabu lalu.

Pegawai-pegawai NAS berkata, masalah itu telah diperbaiki dan tiada kerosakan berulang yang dikesan.

Penangguhan tersebut bermakna Discovery telah tertangguh pelancarannya sebanyak lima kali sejak 12 Februari lalu.

Apabila panel solar itu dipasang kelak, stesen ISS itu akan beroperasi sepenuhnya dan boleh menempatkan enam angkasawan sekali gus berbanding tiga sekarang.

Tenaga tambahan daripada panel solar berkenaan akan membekalkan tenaga untuk makmal-makmal di dalam ISS.

Misi terbaru ini juga membolehkan pertukaran angkasawan iaitu menukarkan angkasawan pertama Jepun, Koichi Wakata dengan angkasawan AS, Sandra Magnus yang telah bertugas di ISS selama empat bulan. - AFP