CAPE CANAVERAL, Florida 16 Mac - Kapal angkasa Discovery berjaya dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di sini awal pagi ini dengan membawa bersama panel suria yang akan dipasang bagi memperbesar ruang bagi persediaan penambahan krew di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Kapal angkasa Discovery dilancarkan pada pukul 7.43 malam (7.43 pagi ini waktu Malaysia) dan memasuki orbit lapan minit kemudian. Perjalanan ke stesen ISS dijangka mengambil masa selama dua hari.
Pengarah Misi Pelancaran, Mike Leinbach berkata, pelancaran itu berjalan dengan sempurna.
"Saya telah melihat banyak pelancaran... dan ini merupakan pelancaran yang paling cantik dilihat. Ia menakjubkan," katanya pada pemberita dalam satu sesi taklimat di sini.
Misi ke ISS itu, merupakan tugasan utama terakhir dalam usaha selama sedekah untuk membina stesen tersebut telah tertangguh berikutan kebocoran hidrogen minggu lalu, setelah dijadualkan berlepas pada Rabu lalu.
Pegawai-pegawai NAS berkata, masalah itu telah diperbaiki dan tiada kerosakan berulang yang dikesan.
Penangguhan tersebut bermakna Discovery telah tertangguh pelancarannya sebanyak lima kali sejak 12 Februari lalu.
Apabila panel solar itu dipasang kelak, stesen ISS itu akan beroperasi sepenuhnya dan boleh menempatkan enam angkasawan sekali gus berbanding tiga sekarang.
Tenaga tambahan daripada panel solar berkenaan akan membekalkan tenaga untuk makmal-makmal di dalam ISS.
Misi terbaru ini juga membolehkan pertukaran angkasawan iaitu menukarkan angkasawan pertama Jepun, Koichi Wakata dengan angkasawan AS, Sandra Magnus yang telah bertugas di ISS selama empat bulan. - AFP
No comments:
Post a Comment